Masjidil Haram

Masjidil Haram
Mengamit Memori

Saturday, February 19, 2011

CERAI DAN RUJUK



Sewaktu menghadapi konflik rumah tangga seorang isteri berkali-kali mencabar dan mengungkapkan kata-kata 'ceraikan saya' kepada suami. Lantaran sakit hati dan hilang kesabaran, si suami akhirnya berkata, 'aku ceraikan engkau'. Si suami sebenarnya pada ketika itu tidak berniat melaksanakan cerai tersebut (sekadar terlepas cakap).

Ada tiga persoalan besar dalam kemuskilan yang diutarakan. Pertama soal minta cerai, kedua soal jatuh talak dan ketiga soal hubungan selepas talak.

Pertama:
Sayugia ditegur kepada para isteri agar tidak sewenang-wenangnya meminta cerai daripada suami. Kalau bukan disebabkan oleh konflik yang amat berat, maka tidak baik seorang isteri minta cerai daripada suamnya sementelahan lagi hanya kerana soal-soal yang remeh seperti kemerosotan pendapatan suami atau si isteri teringin hidup lebih mewah. Bagi isteri yang solehah, persoalan sebegini tidak akan mempengaruhi jiwa dan perasaannya, bahkan dia akan berusaha menenangkan hati suaminya. Lain pula halnya bagi wanita yang bersifat ' ada duit abag sayang, tiada duit abang melayang'. Perlu diingat dalam satu hadis bermaksud: 'Mana-mana perempuan yang minta cerai kepada suaminya, tanpa suatu alasan yang berat, maka haramlah atasnya bau syurga'(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al Hakim).

Kedua:
Berkenaan ucapan suami 'Aku ceraikan engkau', maka itu sudah menggugurkan talak kerana lafaz cerai itu ialah lafaz yang sarih (lafaz yang jelas yang tidak boleh diertikan lain).Kalau seorang lelaki mengucapkan lafaz talak atau cerai terhadap isterinya apatah lagi serius maka gugurlah baginya talak satu. Perlu diingat , lafaz yang diucapkan secara main-main atau secara bersenda gurau pun boleh menggugurkan talak, maka apa tah lagi secara bersungguh-sungguh.
Justeru janganlah mempermainkan ucapan talak, kerana akibatnya amat berat. Sebagaiman hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Tiga perkara yang kesungguhanya adalah sunguh-sungguh dan main-mainnya juga sungguh-sungguh ialah nikah, talak dan rujuk. Kalau lafaz talak sudah diucapkan, gugurlah satu talak. Kalau dua kali terjadi demikian maka dua talak. Kalau tiga kali sudah tiga talak. Justeru jangan kita ambil mudah dan bermain-main dengan lafaz talak kerana memang ia bukannya suatu permainan dan gurauan.

Ketiga:
Hubungan selepas talak. Apabila pasangan suami isteri tersebut sudah sah jatuh suatu talak (cerai) baik dengan sarih ataupun dengan kinayah jika dengan niat, maka haramlah tamattu' (bersedap-sedap, bercumbu dan sebagainya) antara suami terhadap isteri yang sudah ditalaknya dengan talak rij'i itu walaupun hanya dengan pandang memandang saja. Apabila si suami ingin kembali bersatu dengan isterinya sebagai suami isteri, hendaklah dia menyatakan rujuk. Rujuk ini adalah dengan ucapan misalnya'Aku pulang kembali kepada isteriku' atau 'Aku kembali kepada si fulanah' atau 'Aku balik kepada engkau' dan yang lebih sempurna lagi ' Aku kembalikan isteriku si fulanah kepada pernikahanku'. Dalam hal ini tidak disyaratkan perlu ada saksi, hanya sunat mengadakan saksi.

Rujuk:
Dalam masalah rujuk, perkara-perkara berikut boleh dijadikan panduan asas:
1) Rujuk hanya boleh dilakukan apabila perceraian berdasarkan talak satu dan dua (tidak pada talak tiga) dan dilakukan sebelum habis idah.
2) Rujuk hendaklah dilaporkan dalam tempoh tujuh hari kepada pendaftar (kariah masjid) di mana mereka tinggal.
3) Rujuk yang tidak dilaporkan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan hukum dengan dan penjara (menurut enakmen negeri yang berkenaan).
4) Rujuk mestilah diberitahu kepada isteri.
5) Jika isteri enggan rujuk atas alasan yang diharuskan oleh syarak maka mahkamah hendaklah melantik Jawatankuasa Pendamai.
6) Bersekedudukan tanpa rujuk boleh dihukum denda atau penjara (menurut enakmen negeri yang berkenaan) atau kedua-duanya.

Solusi dan Panduan:

Sebagai solusi penulis mencadangkan perkara-perkara berikut untuk dijadikan panduan sekiranya konflik pra percerai berlaku;

1. Jangan tergopoh-gopoh - sebelum membuat keputusan untuk berpisah, carilah masa untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar antaranya daripada Unit Pembangunan Keluarga di Pejabat Agama Islam daerah yang berhampiran. Jika kedua-dua pihak bertekad untuk berpisah maka suatu tuntutan perceraian hendaklah difailkan ke mahkamah.

2. Peluang berdamai - Jika ada kemungkinan bagi kedua-dua pihak untuk berdamai maka mahkamah akan melantik Jawatankuasa Pendamai yang terdiri daripada seorang pegawai agama selaku Pengerusi dan dua orang yang terdiri daripada wakil pihak suami dan wakil pihak isteri. Masa yang akan diambil oleh Jawatankuasa Pendamai ialah selama 6 bulan atau lebih jika dibenarkan oleh mahkamah.

3. Talak di luar mahkamah - Jika suami telah melafazkan talak di luar mahkamah maka talak tersebut tetap jatuh dan perceraian itu hendaklah dilaporkan kepada mahkamah. Namun perlu diingat, jika seorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, maka dia telah melakukan suatu kesalahan dan akan dihukum denda. Denda hendaklah dirujuk kepada enakmen negeri yang berkenaan.

Oleh Ustaz Badli Shah Alauddin - m.Solusi

No comments:

Post a Comment