Masjidil Haram

Masjidil Haram
Mengamit Memori

Wednesday, January 26, 2011

CHEONGSAM HIJAU UNTUK TAHUN BARU CINA 2011

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


BARISAN 15 jenama dan pereka fesyen tanah air yang terlibat dalam Pameran Cheongsam Hijau di The Weld sempena Tahun Baru Cina ini.


KATA penulis buku Feng Shui, Lillian Too, hijau adalah warna bertuah untuk tahun ini. Tambah pengerusi WOFS.com ini lagi, warna hijau itu sendiri sinonim dengan kemewahan dan kaum Cina yang memakai pakaian hijau tahun ini akan mencapai kemakmuran yang diidamkan.

Sebenarnya walaupun tanpa kata-kata dari pakar Feng Shui tersebut, hijau sememangnya warna alam semula jadi kurniaan Allah yang begitu dekat dengan diri setiap manusia.

Ditambah pula dengan isu alam sekitar yang semakin membimbangkan, maka wajarlah warna hijau menjadi keutamaan dalam diri setiap manusia di muka bumi ini.

Atas sebab itu juga warna hijau menjadi pilihan pereka fesyen tanah air dalam rekaan mereka sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang Februari ini.

Buat pertama kalinya, pusat membeli- belah The Weld yang terletak di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, telah menganjurkan Pameran Cheongsam Hijau dari 12 hingga 14 Januari lalu.

Pameran tersebut memperlihatkan kreativiti 15 pereka fesyen tanah air yang terdiri daripada Bill Keith, Carven Ong, Arief Shukor, Salikin Sidek, Leslie Variyan, Keith Kee dan ramai lagi.

Gabungan pereka fesyen daripada pelbagai bangsa ini sekali gus mencerminkan semangat 1 Malaysia.

Pameran tersebut telah dirasmikan oleh Naib Pengerusi Eksekutif bahagian Kewangan dan Hal Ehwal Korporat Great Eastern Life Assurance (M) Berhad, Bruce Lee Yee Lam.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran jemputan khas, Winnie Sin dari Rafflesia, The Peral Centre dan Mandalay.

Pada majlis perasmian tersebut, himpunan rekaan cheongsam telah diperagakan oleh lebih 30 artis wanita tempatan seperti Amber Chia, Erra Fazira, Nasha Aziz, Intan Ladyana, Irma Hasmie, Pushpa Narayan dan ramai lagi.

Melengkapi penampilan cheongsam hijau yang menawan ialah set barangan kemas daripada batu jed dan mutiara eksklusif dari Mandalay dan Rafflesia.

Memang tidak dinafikan penampilan seseorang wanita terutamanya yang mengenakan pakaian tradisional Cina tidak akan lengkap tanpa aksesori tambahan seperti yang digayakan oleh barisan artis serta selebriti tempatan tersebut.

Lee dalam ucapannya berkata, pameran ini bertujuan untuk mempertontonkan kepada orang ramai keindahan seni rekaan cheongsam.

Di samping itu pameran ini juga bertujuan menyampaikan mesej bahawa cheongsam bukanlah terhad untuk kaum Cina sahaja.

"Sesiapa sahaja boleh memakai pakaian tradisi ini dan dengan kreativiti pereka fesyen tanah air, cheongsam kini telah dizahirkan dalam pelbagai rekaan yang elegan, glamor dan memang cantik.

"Pameran ini juga bertujuan mengetengahkan lagi pereka fesyen tempatan yang sebenarnya setaraf dengan pereka fesyen antarabangsa. Ia sekali gus menunjukkan sikap toleransi antara pereka fesyen tanah air tidak mengira usia, tua ataupun muda," jelasnya lagi.

Selain pameran cheongsam tersebut, pusat membeli belah ini juga akan menganjurkan pelbagai lagi aktiviti menarik bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina.

Ia juga menarik pengunjung dari dalam dan luar negara untuk mendekati budaya masyarakat di negara kita yang penuh unik dan mengkagumkan.

Berkunjung ke The Weld dari tempoh 17 Januari hingga 16 Februari ini akan menyebabkan anda berpeluang menyaksikan pertunjukkan seni dari kaum China dan pelanggan yang bertuah akan membawa pulang hadiah Hong Baos yang eksklusif dari The Weld.

No comments:

Post a Comment